Pages

Minggu, Maret 23, 2008

Tok Sheikh Jarum, Tajam Fikirannya Umpama Jarum

Tok Sheikh Jarum atau nama penuhnya ialah Haji Wan Muhammad ldris bin Haji Wan Jamal dilahirkan pada tahun 1266 Hijrah bersamaan 1849 Masihi. Beliau dilahirkan di Kampung Bendang, Daerah Jaha dalam Wilayah Yala, Patani.
Gelaran 'Jarum' di hujung nama Haji Wan Muhammad ldris dikatakan berpunca dari peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang ulama di istananya untuk berbincang masalah ´hukum rejam´ dalam Islam. Ketika Raja Patani meminta Haji Wan Muhammad ldris memberikan pendapat, ulama yang paling muda itu dapat menjawab dengan pintar dan tepat. Ketajaman fikiran yang difikirkan oleh raja seperti 'Jarum' itulah menyebabkan baginda menggelarnya, 'Tok Sheikh Jarum'.

Berdasarkan sumber kedua, iaitu catatan yang diperolehi dari cucunya, Haji Wan Muhammad ldris adalah berasal dari keturunan ´Al-Jarmi´ di Hadhramaut, Tanah Arab. Di dalam catatan tersebut tertulis :"Sheikh ldris atau Sheikh Jarum bin Jamal masyhur dengan panggilan Wan ldris bin Wan Abdul Jamal bin Abdul Latif bin Sheikh Muhammad Shamsuddin bin Muhammad Fakeh bin Muhammad Yassin bin lbrahim Al-Hadharamaut bin lbar Hadharamaut Al-Jarmi". Salah seorang anak Tok Sheikh Jarum yang terkenal yang memakai gelaran ini ialah Haji Abdul Rahman Al-Jarum.

Tok Sheikh Jarum mula mempelajari pelajaran agama Islam dari gurunya yang juga sebagai ayah angkatnya bernama Haji Minai atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Minai atau Tok Sheikh Minai iaitu pengarang kitab Kashfal-Litham dan Aqidat Al-Najin yang sangat terkenal. Beliau telah membawa Tok Sheikh Jarum ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila beliau kembali ke tanahair, Tok Sheikh Jarum tidak ikut serta kerana beliau mahu mendalami pengajiannya di dalam bidang bahasa Arab, Usuluddin, Tafsir dan Fiqah.

Sekembalinya dari Mekah, Tok Sheikh Jarum mengajar beberapa tahun di pondok Tuan Minai di Bendang Dalam, Patani. Kali kedua beliau berangkat ke Mekah ialah pada tahun 1895 dengan ketiga-tiga orang isterinya dan dua orang muridnya yang berasal dari Kedah iaitu Haji Mohamad Salleh Haji ldris dan Haji Muhammad Taib. Kali ini beliau tidak tinggal lama di Mekah kerana cita-citanya ingin pulang ke tanahair untuk mengasaskan perkampungan pondoknya sendiri.

Pada awal tahun 1900, Tok Sheikh Jarum bersama isteri-isterinya meninggalkan Mekah dan berniat untuk singgah di Kedah. Di Kedah, beliau tinggal di rumah seorang muridnya, Haji Awang di Pondok Kubang Siam. Berita ketibaan ulama Patani di kampung itu dan kemasyhurannya telah sampai ke pengetahuan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah melalui Sheikh Ahmad Daim, Kadi Besar Kedah waktu itu. Baginda dikatakan meminta supaya Tok Sheikh tinggal menetap di Kedah untuk mengembangkan syiar Islam di samping diberi tugas menjadi Guru Agama di istana. Permintaan baginda itu diterima oleh Tok Sheikh Jarum kerana bersesuaian dengan cita-citanya.

Tok Sheikh Jarum diberi tempat tinggal percuma di bandar Alor Star. Tetapi disebabkan suasana kesibukan dan kebisingan di bandar tidak sesuai baginya tinggal terus di situ, maka beliau memohon suatu tempat atau kawasan untuk membolehkan beliau membangunkan sekolah pondoknya. Permohonannya dibenarkan dan setelah diberi, Tok Sheikh Jarum memohon suatu tempat yang terletak di Derga. Di situlah beliau meneroka dan mendirikan perkampungan pondoknya dengan bantuan orang-orang dari Kanchut, Alor Star.

Dalam beberapa tahun sahaja, purata jumlah pelajarnya bertambah setiap tahun sehingga pondoknya meningkat kepada dua ratus buah. Oleh kerana pertambahan tersebut, Tok Sheikh Jarum membahagikan kawasan pondoknya kepada dua bahagian iaitu ´pondok luar´ dan ´pondok dalam´. Di samping mengajar di pondoknya, beliau juga kerap ke istana untuk mengajar agama kepada putera-puteri diraja. Setiap kali ke istana, beliau menaiki kereta kuda khas yang datang mengambil dan menghantarnya pulang.

Mata pelajaran yang diajar oleh Tok Sheikh Jarum di pondoknya termasuklah Usuluddin, Tafsir, Fiqah dan bahasa Arab. Anak-anak murid Tok Sheikh Jarum ramai yang berjaya menjadi ulama terkenal di samping menjadi imam dan ada pula yang menurut jejaknya mengasaskan pondok masing-masing.

Tok Sheikh Jarum merupakan salah seorang ulama yang pernah dipilih menduduki barisan Majmak Ulama Dua Belas berpusat di Masjid Zahir, Alor Star yang dipengerusikan oleh Syeikhul-lslam Kedah, Haji Wan Sulaiman Wan Sidek. Mereka berkumpul setiap malam Jumaat bermuzakarah tentang agama dan mengeluarkan sesuatu fatwa.

Selain dari bidang agama, Tok Sheikh Jarum juga sering diminta mengubati orang-orang sakit dan beliau juga arif dalam melihat tuah ayam dan burung. Kebetulan pada waktu Tok Sheikh Jarum mendirikan pondoknya, Derga merupakan pusat atau gelanggang menyabung ayam yang terkenal di Alor Star.

Tok Sheikh Jarum disifatkan sebagai seorang ulama yang bertindak tegas dan tetap pendirian. Satu contoh yang dapat dikaitkan dengan sifat tersebut ialah penghijrahan beliau ke Kedah disebabkan tidak bersetuju di atas dasar pemerintahan Thai yang memaksanya mengorek sebatang taliair di kampungnya.

Kira-kira sepuluh tahun ia diasaskan, pada tahun 1909 pondok itu ditakdirkan musnah dalam suatu kebakaran besar. Punca kebakaran itu dihubungkaitkan dengan pembakaran ikan terubuk kerana boleh dikatakan setiap hari rata-rata penghuni pondok itu membakar ikan terubuk. Kebakaran yang amat dahsyat itu tidak dapat dicegah kerana ianya berlaku dalam sekelip mata. Kesan yang masih tinggal dan dapat disaksikan hingga ke hari ini ialah tiga buah telaga batu di kawasan itu. Salah sebuah daripadanya masih dapat digunakan lagi airnya.

Pihak kerajaan bertindak segera membina rumah-rumah panjang di kawasan itu untuk para penghuni dan juga tempat belajar agar pengajian dapat diteruskan. Dua tahun kemudian iaitu pada 6 April 1911, Tok Sheikh Jarum meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Derga. Pondok yang diasaskannya beransur-ansur menemui zaman kejatuhannya.

Sehingga kini, walaupun Tok Sheikh Jarum tiada lagi, boleh dikatakan ramai anak cucunya tergolong dalam kumpulan orang-orang yang dihajati oleh beliau, antaranya termasuklah:
1. Tuan Haji Abdul Rahman AI-Jarumi, anaknya yang menjadi Guru Agama Diraja di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Beliau meninggal pada tahun 1954.
2. Tuan Haji ldris bin Haji Abdul Rahman. Cucunya yang mengasaskan Pondok Alor Mengkudu, Alor Star.
3. Tuan Haji Hussin bin Haji Abdul Rahman. Cucunya yang pernah menjadi imam Masjid Zahir, Alor Star.
4. Dato´ Sheikh Tajuddin bin Haji Abdul Rahman (Dato´ Mursyid Diraja). Cucunva yang kini dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa di Jabatan Agama Islam Kedah dan juga selaku Pengetua Sekolah Menengah Nahdhatul Hasanah, Melele, Jitra.
5. Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Mohd. Noor. Cucunya yang juga seorang ´Hafiz´. Meninggal di Mekah pada tahun 1987.
6. Tuan Haji Nawawi bin Haji Ahmad. Cucunya yang pernah bertugas sebagai Nazir Sekolah-sekolah Agama Kedah. Terkenal sebagai seorang ´Qari´ dan Penggubah Nasyid, juga seorang pendakwah yang berpengaruh. Banyak mengasaskan sekolah-sekolah agama termasuk Tarbiatul Banat di Seberang Perak, Alor Star bersama Ustaz Haji Saad bin Said, pada tahun 1948 yang kemudiannya dipindahkan ke Jalan Pegawai, Alor Star pada tahun 1958 dengan memakai nama Attarbiatul-lslamiah. Tuan Haji Nawawi meninggal pada 10 April 1985.
7. Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman. Cucunya iaitu seorang guru bersara dari Maktab Mahmud, Alor Star. Kini menjadi imam Masjid Al-lrfan, Derga.
8. Tuan Sheikh Abdul Razak bin Haji Yusof, cucunya yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Kini bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Sekolah-sekolah Agama di Jabatan Agama Islam Kedah.
9. Fadzil bin Mohd. Noor (Allahyarham). Cicitnya yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Pernah bertugas sebagai pensyarah di universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Bekas Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas).
10. Ustaz Muhamad Amin Al-Jarumi, cicitnya yang kini menjadi Pensyarah di Universiti Teknologi Mara.

Selain nama-nama tersebut, masih terdapat cicitnya yang bernama Haji Abdullah bin Haji ldris atau lebih dikenali dengan nama Haji Abdullah Sarah yang membuka sebuah perkampungan pondok terbesar di Kampung Sarah, Patani. Sistem pengajaran dan pembelajaran di pondoknya masih mengekalkan ciri ciri sistem tradisional.

0 komentar: