Tok Kenali, Tok Kelaba dan Tok Bermin ialah tiga serangkai yang bersahabat dan seperguruan. Mereka adalah tiga gandingan nama ulama yang sering diperkatakan oleh masyarakat dalam lingkungan jalur mulai Kemboja, Bangkok, Patani, Semenanjung hinggalah di Sumatera pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua. Ada faktor-faktor tertentu kenapa masyarakat selalu memuji mereka.
Faktor yang pertama ialah ketiga-tiganya mempunyai banyak ilmu yang pada zamannya memang pada kedudukan yang paling atas. Tentang Tok Kenali, orang sering mengisahkan tentang ‘karamah’ beliau. Sebenarnya jika hal itu diceritakan tak kurang juga kedua-dua sahabat beliau iaitu Tok Kelaba dan Tok Bermin.
Artikel Ulama Nusantara yang diperkenalkan dalam ruangan Agama Utusan Malaysia sudah berjumlah 97 judul termasuk artikel ini. Nampaknya kita tidak cukup ruang untuk menceritakan tentang ‘karamah’ kerana kisah yang bercorak zahir berdasarkan fakta terlalu padat.
Mungkin satu ketika nanti masyarakat menjadi bosan terhadap kisah zahir lalu ‘rohani’ mereka memberontak menuju kepada yang bercorak batin. Ketika itu kisah ‘karamah’ para Wali Allah atau ulama sangat perlu diperkenalkan. Kekosongan jiwa dan keruntuhan moral, terutama para remaja, akhir-akhir ini adalah akibat tidak diajar pengetahuan Islam secara bersepadu iaitu yang zahir (syariat) dan yang batin (tasawuf).
Ketiga-tiga ulama yang bersahabat tersebut telah berjasa dalam menyepadukan kedua-dua perkara tersebut sehingga sangat ramai murid mereka yang menjadi ulama.
Dalam artikel ini kita akan memperkatakan mengenai latar belakang Tok Bermin.
Nama lengkapnya ialah Al-Fadhil Al-‘Alim Haji Wan Muhammad bin Haji Wan Idris Bermin al-Fathani. Nama popularnya ialah Tok Bermin saja. Nama singkat itu lebih popular seperti juga nama Tok Kenali. Beliau lahir di Kampung Jambu, Patani pada tahun 1290H/1873M dan wafat di Bermin, malam Khamis 29 Zulkaedah 1376H/27 Jun 1957M.
Datuk nenek beliau adalah dalam lingkungan keluarga besar Syeikh Ahmad al-Fathani dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.
Pendidikan
Sebelum melanjutkan pelajaran ke Mekah, Tok Bermin telah memperoleh banyak ilmu di Patani, sekurang-kurangnya di pondok terkenal iaitu Pondok Bendang Daya. Tok Bermin tidak sempat belajar dengan Tok Bendang Daya yang pertama (Syeikh Haji Wan Mustafa) tetapi sempat belajar dengan Tok Bendang Daya yang kedua (Syeikh ‘Abdul Qadir bin Mustafa, yang dicatat oleh Tok Kelaba sebagai Wali Allah di Patani pada zamannya).
Tok Bermin belajar juga di Pondok Tok Raja Haji, Jambu. Pondok ini diasaskan oleh Haji Wan Idris (Tok Raja Haji) iaitu murid dan menantu pada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani. Kedua-dua guru Tok Bermin tersebut ada hubungan kekeluargaan yang erat. Sampailah pada zaman Tok Bermin yang menjadi ulama dan mengasaskan pondok dalam Patani, sekolah pondok didominasikan oleh keluarga mereka.
Ketika Tok Bermin belajar di Mekah, beliau belajar dengan ramai ulama, tetapi paling banyak pengetahuan diperoleh daripada Tok Cik Wan Daud bin Mustafa al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani. Sama halnya dengan Tok Kenali, Tok Bermin adalah murid yang paling dikasihi oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.
Tok Bermin adalah seorang yang tegas, cermat dan kemas. Banyak persamaan antara Tok Kenali dengan Tok Bermin, tetapi tiga perkataan yang tersebut lebih mencerminkan syariat sedangkan Tok Kenali mempraktikkan tasawuf dengan cara-cara yang tersendiri.
Tok Bermin sangat tegas menentang kemasukan Kaum Muda di Patani. Tok Kenali pula kadang-kadang hadir di tempat perdebatan Kaum Tua dan Kaum Muda di Kota Bharu tetapi beliau hanya diam saja.
Ketika membaca kitab atau mendengar murid membaca kitab bahasa Arab, Tok Bermin sangat cermat. Beliau sangat terikat dengan kaedah ilmu, terutama dalam ilmu nahu dan ilmu sharaf, sedikit pun tidak boleh tersilap atau salah.
Jika tersalah baca, Tok Bermin menegurnya secara spontan langsung memberi keterangan dengan ‘tegas’. Tok Kenali sungguhpun beliau seorang ahli dalam ilmu-ilmu itu tetapi beliau membaca dengan laju tidak seperti Tok Bermin membaca perkataan satu demi satu dengan jelas.
Tok Bermin selalu kemas dalam berpakaian sama ada ketika mengajar atau berjalan. Pakaian yang dipakainya sentiasa tegang kerana berkanji menurut tradisi zaman itu. Ini juga berbeza dengan Tok Kenali yang selalu berpakaian menurut caranya tersendiri, atau pakaian ‘ahli ash-shufi’ setiap zaman yang selalu tidak sama dengan kebanyakan orang.
Tok Bermin jika berjalan ke mana-mana menunggang kudanya sendiri dengan tongkat kebesaran seperti yang biasa dipakai para Nabi atau ulama ash-sufi sentiasa tersedia pada tangannya. Jika menunggang kuda Tok Bermin selalu berdisiplin, mencerminkan kewibawaan, kebesaran ulama dan kelihatan gagah. Dielakkannya menunggang seperti ada kelemahan atau menanggung sesuatu penyakit.
Bijak
Tok Kenali pula tidak pernah kita dengar menunggang kuda, tetapi beliau lebih suka berjalan kaki. Kesimpulan cerita ini bukan bererti ada kecelaan salah seorang daripada kedua-dua ulama yang tersebut, tetapi kedua-duanya bijak menyesuaikan keadaan atau tempat di mana mereka berada. Sekiranya Tok Bermin tinggal di Kota Bharu, Kelantan kemungkinan beliau juga bertindak seperti Tok Kenali.
Sebaliknya jika Tok Kenali tinggal di Bermin, Patani, kemungkinan beliau berkelakuan seperti Tok Bermin. Seluruh kelakuan, bergerak dan diam ulama pada peringkat kedua-duanya adalah bertujuan mendidik masyarakat bukan memuaskan kepentingan hawa nafsu peribadi semata-mata.
Dalam beberapa siri artikel tentang ulama Minangkabau yang lalu, kita telah mengetahui tentang pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda yang cukup hebat di negeri itu. Pergolakan itu akhirnya menyeberang ke Semenanjung, sampai ke Legor. Dari Legor turun ke Patani.
Pada tangan saya ada manuskrip atau tulisan tangan asli Tok Bermin yang meriwayatkan peristiwa kedatangan dua orang dari Minangkabau ke Legor menyebarkan ajaran Kaum Muda. Beberapa petikan saya perturunkan dalam artikel ini untuk dapat dikaji oleh pihak-pihak yang berkepentingan apakah ia daripada golongan Kaum Tua atau Kaum Muda.
Penulisan yang berdasarkan data dan fakta bukanlah bererti berpihak dengan sesuatu pihak. Untuk berpihak, itu adalah penilaian setiap individu itu sendiri, berdasarkan keintelektualan, pengalaman dan lainnya, tetapi perlulah ada kejujuran. Apa-apa yang tersembunyi dalam hati itulah yang perlu dikongsi dengan masyarakat.
Mukadimah tulisan Tok Bermin adalah sebagai berikut: “Dan adalah pada hari Sabtu, 26 Syawal, dan hari Isnin, 28 Syawal juga, pada tahun [atau] sanah 1347 [Hijrah], perhamba al-Haji Wan Muhammad Bermin, Jambu, periksa dan tanya akan ‘Abdullah dan Burhan orang Minangkabau. Yang keduanya setengah daripada Kaum Muda yang duduk berjalan menyesatkan orang-orang. Di dalam negeri Legor diperiksa di dalam Masjid al-Haji Mat, Kampung Baru. Dan di dalam Masjid al-Haji Mahmud di hadapan Imam Shiddiq, dan Penghulu Hamzah, dan al-Haji Mat sendiri dan al-Haji Mahmud, dan beberapa banyak daripada manusia.’’
Tarikh kejadian yang disebut oleh Tok Bermin iaitu 26 dan 28 Syawal 1347H itu adalah bersamaan dengan 6 dan 8 April 1929M.
Kenal
Memperhatikan tarikh ini bererti masih dalam lingkungan tahun-tahun yang sama dengan pertentangan Kaum Tua dan Kaum Muda di Sumatera. Tok Bermin lahir pada tahun 1290H/1873M, bererti dia lebih tua sekitar enam tahun daripada Syeikh Abdul Karim Amrullah, pelopor Kaum Muda di Minangkabau yang lahir pada 1296H/ 1879M.
Kemungkinan Abdullah dan Burhan yang berasal dari Minangkabau yang disebut oleh Tok Bermin pada petikan di atas adalah termasuk murid Syeikh Abdul Karim Amrullah. Tidak dapat dinafikan bahawa Tok Bermin dan Syeikh Abdul Karim Amrullah telah kenal sejak di Mekah kerana kedua-duanya adalah belajar dengan para ulama Mekah yang sama.
Selanjutnya Tok Bermin menulis: “Maka telah nyata bahawasanya ‘Abdullah dan Burhan bukan daripada orang yang mengikut Imam Syafie. Bahkan bukan daripada mazhab yang empat. Dan keduanya bawa bercakap dengan kitab bagi Imam Syafie itu kerana menipu dan supaya menyangka orang yang mendengar akan kedua-duanya itu orang yang mengikut Syafie, padahal bukan Syafie.
“Dan jika tiada keduanya bawa bercakap-cakap dengan ‘Kitab Umm’ itu, nescaya tiada seorang pun mengikut akan keduanya daripada permulaan masuk Abdullah dan Burhan ke dalam negeri Legor.”
Tulis Tok Bermin selanjutnya: “Dan sebab keluar keduanya dari mazhab itu, kerana menafi oleh keduanya akan ijmak dan qiyas. Dan keduanya ikut nas Quran dan hadis sahaja. Dan padahal ijmak dan qias itu, keduanya adalah setengah daripada dalil-dalil yang buat menghukum ‘ulama’ dengan dia.”
Tok Bermin membahaskan perkara tersebut dengan panjang lebar dan mendalam menggunakan hujah-hujah yang mantap ditinjau daripada pelbagai ilmu sebagaimana yang digunakan oleh jumhur ulama. Oleh sebab Tok Bermin memang pakar dalam banyak bidang ilmu, terutama ilmu alat, iaitu nahu dan sharaf. Abdullah dan Burhan kurang mengetahui tentang kedua-dua ilmu itu terpaksa diam saja.
Dalam masa yang sama pertikaian khilafiyah menjalar terus termasuk peristiwa Mufti Haji Wan Musa di Kota Bharu, Kelantan, yang terkenal dengan masalah ‘jilatan anjing’. Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau yang menjadi Imam dan Khatib Mazhab Syafie di Masjid al-Haram, Mekah sendiri pernah dilawan oleh muridnya Syeikh Abdul Karim Amrullah.
Hal ini berbeza dengan Syeikh Ahmad al-Fathani kerana beliau tidak pernah dilawan oleh muridnya. Sewaktu pergolakan pemikiran khilafiyah di dunia Melayu, Syeikh Ahmad al-Fathani telah wafat. Bagaimanapun sewaktu permulaan khilafiyah di Asia Barat, iaitu pergolakan pemikiran antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (pembantah pertama pemikiran Kaum Tua) di Beirut dengan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir (pencetus pemikiran Kaum Muda), muncul peranan Syeikh Ahmad al-Fathani.
Para ulama Mekah telah mengutus Syeikh Ahmad al-Fathani ke Beirut dan Kaherah untuk mendamaikan pertikaian pendapat kedua-dua ulama besar itu. Dalam pertemuan dengan Saiyid Yusuf an-Nabhani mahupun Syeikh Muhammad Abduh tidak terjadi perdebatan antara Syeikh Ahmad al-Fathani dengan kedua-duanya tetapi telah berlaku peristiwa sejarah yang panjang dan menarik.
Penulisan
Tidak banyak dijumpai tulisan Tok Bermin. Beliau lebih banyak mencurah dan menghabiskan masanya mengajar di pondok. Dalam koleksi saya terdapat beberapa judul tulisan beliau, iaitu mengenai Kaum Muda yang segelintir daripada kandungannya diperkenalkan di atas. Karya beliau yang lain ialah yang diberi judul Jawahir al-Kalamiyah, diselesaikan pada Isnin, 11 Zulkaedah 1349H/29 Mac 1931M. Kandungannya mengenai akidah. Cetakan pertama oleh Perkatapan, Kota Bharu, Kelantan, tanpa tahun. Cetakan Patani Press, 15 November 1937 dengan beberapa tambahan. Karya Tok Bermin yang lain ialah al-Qaul al-Mubin, tanpa tarikh. Kandungannya membicarakan fikah.
(Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, Tok Bermin al-Fathan, Cergas, Cermat dan Kemas karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah)
Minggu, Maret 02, 2008
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
2 komentar:
em..tulisan xboleh wat terang sket ke..
Terima kasih atas komennya sdr zala. Saya sudah bagi terang tulisannya.
Posting Komentar