Selasa, Maret 04, 2008

Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq, Syeikhul Islam Kedah

Biografi kali ini sebagai memenuhi permintaan seorang saudara kita melalui e-mel mengenai Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq, Syeikhul Islam Kedah. Nama lengkap ulama ini ialah Wan Sulaiman bin Wan Siddiq bin Wan Aman bin Wan Net binti Wan Su. Wan Su adalah Datuk Temenggung Kolot Bukit Lada yang berasal dari Patani. Wan Net binti Wan Su berkahwin dengan Wan Muhammad Hadi. Wan Sulaiman dilahirkan di Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau, dalam daerah Kota Setar, Kedah pada tahun 1291 Hijrah/1874 Masihi.

Ibu kepada Wan Sulaiman bernama Wan Jamilah atau digelar dengan Wan Tam Kecil. Wan Jamilah adalah adik beradik dengan Datuk Kerani Muhammad Arsyad, Kerani Rahsia Kerajaan Kedah. Ayah mereka berdua bernama Haji Abu Bakar (Kadi Daerah Yan, Kedah) bin Wan Nurdiman bin Datuk Seri Paduka Raja Laksamana.

Wan Jamilah adalah anak saudara dan sepupu kepada Wan Hajar (Mak Wan Besar) binti Wan Ismail bin Datuk Seri Paduka Raja Laksamana, iaitu ibu kandung kepada Sultan Abdul Hamid, Raja Muda Tengku Abdul Aziz dan Tengku Mahmud, Presiden Majlis Negeri yang pernah menjadi Pemangku Sultan. Bererti pula Wan Jamilah adalah anak saudara sepupu kepada Wan Muhammad Saman bin Wan Ismail yang pernah menjadi Perdana Menteri Kedah. Ini kerana Wan Hajar adalah adik beradik dengan Wan Muhammad Saman.

Pendidikannya

Dalam usia 9 tahun, Wan Sulaiman mendapat pendidikan bahasa Melayu di sekolah yang dibuka oleh Haji Din. Pendidikan tersebut ditempuh lebih kurang tiga tahun, iaitu sekitar tahun 1882 - 1885. Dalam masa yang sama beliau juga mengaji al-Quran kepada Haji Ismail al-Kalantani. Wan Sulaiman juga mempelajari bahasa Inggeris kepada Dr. Gromez. Wan Sulaiman berhasil mengIslamkan gurunya ini setelah beliau pulang dari Mekah. Pada usia 12 tahun, Syaikh Wan Sulaiman memasuki pengajian pondok. Gurunya, Syaikh Omar al-Qadri memberi perhatian kepada pengajian kitab Jawi. Dengan asas pengajian Jawi inilah Syaikh Wan Sulaiman berangkat ke Mekah pada tahun 1888M.Beliau belayar keMekah melanjutkan pelajarannya sekitar tahun 1887/1888M. Sewaktu di Mekah beliau belajar kepada ramai ulama.Senarai ulama dunia Melayu di Mekah yang pernah menjadi guru kepada Wan Sulaiman ialah:
1. Syaikh Faqir Muhammad Andakhuri al-Bukhari (wafat pada 19 Rabi`al-Awwal 1321 / 14 Jun 1903 di Taif. Dari beliaulah Syaikh Wan Sulaiman baiah thariqat Naqsyabandiyah Mujaddidiyah Ahmadiah)
2. Syaikh Muhammad Zainuddin Sumbawa (wafat pada 3 Mei 1895)
3.Syaikh Muhammad Khayyat (merupakan seorang ulama terkemuka di Masjidil Haram. Ketika 4.Syaikh Wan Sulaiman menjadi Qadhi Besar Kedah, beliau telah dilantik menjadi Syaikhul Islam Kedah yang pertama. Beliau wafat di Pulau Pinang pada tahun 1915M)
5.Syaikh Muhammad Amin Ridwan (mengajar di Masjid Nabawi di Madinah)
6. Syaikh ‘Ali Surur bin Muhammad az-Zawawi al-Makki al-Mazhari
7. Syaikh Hasan al-Ja’fari as-Saidi
8. Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani
9. Syaikh Wan Ali al-Kalantani
10. Syaikh Ahmad al-Fathani
11. Syaikh Daud bin Mustafa al-Fathani
12. Syaikh Ahmad Lingga
Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau dan ramai lagi. Beliau tinggal di Mekah hampir 20 tahun lamanya.Di antara sahabat beliau yang sebaya umur dengannya ialah Syaikh Muhammad Said Linggi (lahir 1292 Hijrah/1875 Masihi, meninggal dunia 1345 Hijrah/1926 Masihi). Walau bagaimanapun Syaikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq menerima Thariqat Naqsyabandiyah daripada Syaikh Faqir Muhammad Andakhuri al-Bukhari (meninggal dunia di Taif pada 19 Rabiulawal 1321H/14 Jun 1903M). Dalam masa tiga tahun terakhir, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Ilmu Tarekat Naksyabandiyah Mujaddiyah Ahmadiyah. Dari gurunya iaitu Tuan Syaikh Fakir Muhammad Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang ke-34. Manakala Syaikh Muhammad Said Linggi adalah pengamal Thariqat Ahmadiyah Idrisiyah yang diterima daripada Syaikh Muhammad ad-Dandarawi.Selain itu diantara ulama seperguruan dengan beliau semasa di Mekah adalah:
1. Syaikh Muhamad Tahir Jalaluddin
2. Syaikh Muhammad Mukhtar ‘Atarid Bogor
3. Syaikh Abdullah Fahim
4. Haji Ismail Labok, Kelantan (kemudiannya menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, Kalimantan)
5. Haji Ibrahim Tok Raja ( Mufti Kerajaan Kelantan)
6. Tuan Guru Guru Haji Omar Sungai Keladi
7. Tok Bachok, Kelantan dan
8. Tok Kenali

Keturunannya

Daripada perkahwinan Wan Sulaiman dengan Wan Kalsum binti Wan Abdul Hamid memperoleh 11 orang anak. Di antaranya yang sempat berkahwin ialah: 1. Wan Noor berkahwin dengan Syed Muhammad Al-Jufri. 2. Wan Mardhiyah berkahwin dengan Datuk Hj. Wan Ibrahim bin Wan Soloh. 3. Wan Rahimah berkahwin dengan Ismail Kasim. 4. Wan Zakiyuddin berkahwin dengan Zainab binti Abdullah.

Murid-Muridnya

Antara murid-muridnya adalah:
1. Haji Abu Yazid, Imam di Masjid Yan, Kedah dan merupakan khalifahnya.
2. Dato Haji Wan Ibrahim bin Wan Soloh. Beliau ini juga merupakan menantu Syaikh Wan Sulaiman. Beliau ini juga merupakan ayahanda kepada seorang tokoh koperat Malaysia, Dato Wan Adli Ibrahim (meninggal dunia pada 26 April 1988)
3. Tuan Guru Dato Haji Hussin bin Haji Saleh, Pondok Jalan Makam Diraja, Langgar, Alor Setar.[wafat pada 21 Julai 1997]
4. Haji Mahmud bin Lebai Syafie, Imam dan juga Penghulu Kg Sanglang; dan ramai lagi.

Perkahwinan

Sewaktu masih berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman mengahwini Wan Kalsom (Wan Tom) binti Wan Abdul Hamid, anak bekas Kadi Daerah Yan, Kedah dan dikurniakan 11 orang cahayamata.

Aktiviti

Wan Sulaiman pulang ke Kedah pada hari Isnin 9 Rabiulakhir 1324/30 Julai 1906M. Sungguh pun demikian ada pendapat yang menyebut bahawa beliau pulang pada tahun 1329H/1910M.

Menurut pendapat al-Muarrikh Tuan Guru Hj Wan Muhammad Saghir: “bahawa beliau pulang ke Kedah pada 9 Rabiulakhir 1324 Hijrah/ 30 Julai 1906 Masihi dikuatkan pula sebuah karya beliau berjudul `Umdatul Aulad, diselesaikan di Kedah pada 8 Muharam 1326H bersamaan 10 Februari 1908M. Oleh sebab karya ini diselesaikan di Kedah lebih kurang 2 tahun sebelum tahun 1329H/1910M, dengan demikian pendapat yang menyebut Wan Sulaiman pulang ke Kedah pada tahun 1329H/1910M adalah sangat diragui.”

Tidak berapa lama dari tarikh kepulangannya, Wan Sulaiman dilantik dengan beberapa jawatan; dimulai dengan kadi, kemudian Kadi Besar pada tahun 1910M dan terakhir sekali Syaikhul Islam Kedah pada tahun 1920M menggantikan Syaikh Muhammad Khayat. Selain sebagai Syaikhul Islam, beliau juga giat mengajar di beberapa surau. Kemuncak aktivitinya ialah mengajar yang dipusatkan di Masjid Zahir [gambar diatas adalah majlis perasmian Masjid Zahir pada tahun 1915].

Beliau juga menganggotai Majlis Syura atau Majmuk Ulama. Majlis Syura ini mengandungi 12 orang ulama dengan dipengerusikan oleh Syaikh Wan Sulaiman sementara (datuk kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang) selaku setiausahanya. Ulama-ulama lain yang menganggotainya termasuklah Syaikh Abdullah Fahim, Syaikh Muhammad Khayat, Syaikh Jarum Derga (Haji Wan ldris Wan Jamal), Haji Ahmad Awang, Haji ldris Ayer Hitam, Haji Muhammad Saman, Keramat Serban Hijau, Haji lbrahim Paya Sena, Haji Muhammad Arif Sungai Nonang dan Haji Hussain Nasir al-Banjari (Tuan Hussain Kedah). Majmuk ini berkumpul setiap malam Jum’at di Masjid Zahir untuk bermuzakarah hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam

Tarekat Naqsyabandiyah

Selain mengajar perkara-perkara yang tertakluk dengan fardu ain, fekah, usuluddin, tasawuf, al-Quran dan tajwidnya, Syaikh Wan Sulaiman juga mentawajjuhkan zikrullah menurut kaedah Tarekat Naqsyabandiyah Ahmadiyah Mujaddidiyah.
Thariqat ini beliau ambil dari gurunya Tuan Syaikh Fakir Muhammad Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang ke-34. Silsilahnya adalah seperti berikut:

Syaikh Wan Sulaiman menerima daripada Syaikh Faqir Muhammad al-Bukhari رضي الله عنه menerima daripada Syaikh Muhammad Umar al-Ahmadi رضي الله عنه menerima daripada Syaikh Abu Said al-Ahmadi رضي الله عنه menerima daripada Syaikh Abdullah ad-Dihlawi al-‘Alawi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Habibullah Jan Janan Mazhar al-’Alawi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh asy-Syarif Nur Muhammad al-Badawani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhamad Sayfuddin bin Muhammad Ma’sum رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Ma’sum bin Ahmad رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Ahmad al-Faruqi as-Sirhindi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Baqibillah رضي الله عنه, menerima daripada Muhammad al-Khawajaki al-Amkani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Darwish Muhammad as-Samarqandi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Zahid رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Ubaidullah Ahrar رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Ya’akub al-Jarkhi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Alaudin al-‘Attar al-Bukhari رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh as-Sayyid Bahauddin Muhammad bin Muhammad al-Bukhari رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh as-Sayyid Amir Kulal bin as-Sayyid Hamzah رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Baba as-Sammasi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh ‘Ali ar-Ramitani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh al-Anjir al-Faghnawi رضي الله عنه, mengambil dari Syaikh Arif ar-Riyukari رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abdul Khaliq bin Abdul Jamil al-Ghuddanawi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abu Ya’kub Yusuf bin Ayyub al-Hamdani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abu ‘Ali al-Fadhl bin Muhammad at-Tusi al-Farmidi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abul Hasan Ali bin Abu Ja’far al-Kharqani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abu Yazid Taifur bin Isa al-Bisthami رضي الله عنه, menerima daripada al-Imam Abu Ja’faq as-Sodiq رضي الله عنه, menerima daripada Sayyidina al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq رضي الله عنه, menerima daripada Sayyidina Salman al-Farisi رضي الله عنه, menerima daripada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq رضي الله عنه, menerima daripada Sayyidina Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وسلم

Jalur silsilah thariqah Naqsyabandi Syaikh Wan Sulaiman ini sama dengan jalur silsilah yang diterima oleh Syaikh Abdul ‘Adzim al-Manduri (wafat 1335H/1916M) dan Sayyid Abdurrahman bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal ‘Abidin al-Idrus (wafat 1335H/1917M) atau lebih dikenali dengan nama Tokku Paloh [Tokku Paloh menerima thariqah Naqsyabandiah daripada Syaikh Muhammad Sholeh az-Zawawi رضي الله عنه, menerima daripada Muhammad Mazhar al-Ahmadi رضي الله عنه (wafat 1301H/1883M di Madinah), menerima daripada Syaikh Abu Said al-Ahmadi رضي الله عنه (wafat 1277H/1860M di Madinah)].
Ada yang berpandangan bahawa memasuki thariqat akan mengakibatkan kemunduran pembangunan duniawi, namun jika kita membaca karya-karya mengenai ilmu tersebut yang dikarang oleh ahlinya, termasuk karangan-karangan Syaikh Wan Sulaiman, tuduhan seperti itu adalah tidak benar. Sebagai contoh Wan Sulaiman adalah seorang ulama yang bergerak aktif sama ada untuk kepentingan duniawi dan ukhrawi. Wan Sulaiman juga telah mengeluarkan fatwa-fatwa mengenai Islam yang merupakan fatwa rasmi kerajaan Kedah pada zamannya. Di dalam sebuah kitab karangannya bertajuk Fakihat al-Janiyah, halaman 10, beliau mengatakan: “….. tidak sempurna insaniahnya ini melainkan dengan thariqat ….”

Syaikh Wan Sulaiman berpandangan bahawa selain aktiviti duniawi, urusan kehidupan (ma`isyiah) mestilah disegandingkan dengan aktiviti secara berjamaah antara guru (mursyid) dengan murid-muridnya.

Katanya lagi, pertemuan shuhbah dengan mursyid sekurang-kurangnya setiap hari tiga kali, iaitu pada waktu sembahyang Subuh, Zuhur dan Asar. Setiap pertemuan sentiasa membahaskan pelbagai bidang ilmu, bahkan juga tiada sunyi daripada membahaskan permasalahan dan kepentingan duniawi. Walau bagaimanapun urusan duniawi mestilah ditimbang menurut yang dibenarkan oleh syarak Islam atau sebaliknya.
Jasanya

Beliau adalah pemikir dan pengasas pertama Madrasah al-Hamidiah pada tahun 1916M di Limbong Kapal Kedah. Limbung Kapal terletak di Alor Setar dan tidak jauh dari Pejabat Agama Kedah ketika itu. Beliau melantik sahabatnya Haji Abdullah Fahim menjadi mudir madrasah tersebut. Madrasah al-Hamidiah ini lebih dikenali di Kedah dengan nama Sekolah Arab Limbung Kapal atau Madrasah Pak Wan Sulaiman. Ia merupakan tempat pendidikan Islam mengikut sistem persekolahan moden kedua terawal di Semenanjung Tanah Melayu, kerana yang paling awal ialah Madrasah al-Attas di Johor Bahru, 1914 Masihi.

Pada tahun 1930M, Syaikh Wan Sulaiman telah mewakafkan sebidang tanahnya bagi meluaskan Madrasah al-Hamidiah memandangkan perkembangan pembelajaran yang begitu pesat. Pelajarnya semakin bertambah yang datang bukan sahaja dari Kedah, tetapi juga dari luar negeri itu. Sekolah Arab Limbung Kapal akhirnya memenuhi tuntutan pendidikan sezaman pada ketika itu. Usaha Syaikh Wan Sulaiman mendapat sokongan dari guru-guru yang berwibawa dan sanggup mengajar di sekolah tersebut. Antara guru itu ialah Syaikh Abdullah Fahim dan Syaikh Ibrahim bin Yusof.

Setelah memperhatikan kemajuan pendidikan tersebut, Wan Sulaiman bersama Tengku Mahmud akhirnya memikirkan pula untuk menubuhkan sekolah menengah Islam. Walau bagaimanapun Wan Sulaiman tidak sempat melihat sekolah yang dicadangnya itu, kerana sekolah tersebut berfungsi setahun setelah beliau meninggal dunia. Sekolah itu ialah al-Ma'ahad Mahmud yang kemudian lebih dikenali dengan nama Maktab Mahmud di Simpang Kuala Alor Setar yang mulai bergerak pada 29 Rabiulawal 1355 Hijrah/16 Jun 1936 Masihi.

Maktab Mahmud termasuk di antara sekolah menengah Islam yang terkenal di Malaysia sampai sekarang. Ramai pelajar lepasan madrasah itu yang menjadi tokoh pelbagai bidang, bukan hanya dalam urusan Islam tetapi juga bidang-bidang lainnya. Ini merupakan jasa besar dan amal jariah Syaikh Wan Sulaiman.

Karya-Karyanya

Wan Sulaiman juga menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah:
1. `Umdatul Aulad fi Bayani fi `Ibadatihim ila Rabbil `Ibad, diselesaikan pada 8 Muharam 1326 Hijrah di Kedah Darul Aman. Kandungannya merupakan pelajaran darjah pertama bicara ibadat. Cetakan Keriterian Press Limited, Pulau Pinang.
2. Nihayatul Mathlub fi Tashfiyatil Qulub, diselesaikan pada 30 Jamadilawal 1337 Hijrah di Kedah yang berbentuk manuskrip. Disalin oleh Muhammad Tahir al-Juhuri (Johor) 16 Syaaban
1376 Hijrah/Mac 1957 Masihi. Kandungannya merupakan pelajaran Thariqat Naqsyabandiyah.
3. Futuhat Qad-hiyah, diselesaikan pada 17 Rabiulawal 1343 Hijrah di Kampung Limbong Kapal, Kedah. Kandungannya membahas mengenai Thariqat Naqsyabandiyah-Mujaddidiyah Ahmadiyah. Cetakan kedua, oleh Haji Hasyim bin Abdullah, di Percetakan Siaran, Alor Setar.
4. Qashidah Menyanyi Lagu Abyari, diselesaikan pada 3 Muharam 1344 Hijtah/1925 Masihi di Kampung Limbong Kapal, Kedah. Kandungannya tentang akidah untuk kanak-kanak. Terdiri daripada 114 bait syair. Diceritakan bahawa ia disusun ketika dalam perjalanan menaiki kereta api ke Bangkok sewaktu mengiringi Tengku Mahmud. Cetakan The Kedah Goverment Press, tanpa disebutkan tahunnya.
5. Tanwirul Bashirah ..., diselesaikan pada 20 Rejab 1347 Hijrah/1928 Masihi. Dicatatkan pada halaman belakang oleh Al-Haji Wan Ismail Daud, Setiausaha Hal Ehwal Jabatan Agama Negeri Kedah, katanya, ``Di atas jasa-jasa baik al-Marhum asy-Syaikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq dan perjuangannya untuk menegakkan agama, bangsa dan nusa, janganlah hendaknya kita sebagai kata pepatah, ``Kacang lupakan kulit, hadiah Fatihah kepadanya.'' Cetakan Persama Press, Pulau Pinang.
6. Nazham Syair Bicara Sirah An-Nabawiyah dan Dualul Islamil Kubra Kerajaan Islam Yang Besar-Besar, diselesaikan pada 3 Muharam 1348 Hijrah/1929 Masihi. Kandungannya merupakan syair yang terdiri daripada 198 bait. Selanjutnya menceritakan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., sirah dan akhlak Nabi s.a.w. Disinggung juga mulai berdirinya Khalifah Usman bin Artoghrrol pada tahun 699 Hijrah hingga pemerintahan Sultan Abdul Hamid Tsani tahun 1293 Hijrah. Cetakan Kerajaan Kedah, tanpa tahun.
7. Mizanul `Uqala' wal Udaba', diselesaikan pada 16 Disember 1950 Hijrah. Kandungannya tentang pengertian syariat, thariqat, haqiqat dan ma'rifat. Cetakan keenam oleh Haji Hasyim bin Abdullah.
8. Mir’atul Qulub (1345H) setebal 11 halaman, mengenai qada dan qadar
9. Nur Saati’ wa Saif Qaati`(1345H) mengenai thariqat Naqsyabandi
10. Hawd al-Mawrud (1346H), huraian mengenai konsep martabat 7
11. an-Nata`ij al-Fakriyah (1349H) setebal 42 halaman. Kupasan mengenai kaum muda dan kaum tua
12. Dan beberapa buah kitab lagi. Kesimpulannya bahawa keseluruhan karangan yang diketahui ada 17 judul, penulisan pertama tahun 1326H/1908M dan terakhir pada tahun 1350H/1931M.

Kewafatannya

Syaikh Wan Sulaiman yang dilahirkan di Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau, Kota Setar pada tahun 1874, meninggal dunia di rumahnya pada usianya 61 tahun. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada petang Khamis, 2 Mei 1935 bersamaan 29 Muharam 1354. Jenazahnya dikebumikan di Makam Diraja Langgar dengan dihadiri lebih 10,000 orang ramai yang memberi penghormatan terakhir untuk beliau.

Dipetik dari:
- Tulisan Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah di akhbar UM, Buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu 1, terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Buku Biografi Ulama Kedah

Tidak ada komentar: